Tuesday, December 22, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU













Tanggal 11/12/2009 merupakan tanggal yang dinanti-nantikan oleh saya sekeluarga kerana pada hari inilah satu-satunya adik perempuan saya, Nur Syazrina, atau Chana diijabkabulkan dengan pilihan hatinya Zaidi. Oleh kerana Zaidi ni berasal dari kampung bersebelahan aje, maka urusan perkahwinan ini sangat mudah diuruskan. Yelah... apa-apa hal boleh terus bincang dan selesai.

Majlis kenduri diadakan pada 12/12/2009 dan di rumah Zaidi pada 13/12/2009. Sangat meriah. Kami adik beradik bersama abah memastikan majlis berlangsung dengan lancar. Walaupun mak telah tiada, tapi alhamdulillah jiran-jiran dan orang kampung ramai yang datang membantu. Semasa arwah mak masih ada, mak memang sering membantu orang-orang kampung yang mengadakan majlis kenduri kahwin. Saya sangat bersyukur kerana jasa-jasa mak tidak dilupai orang kampung dengan membantu kami tanpa mengira penat dari seawal pagi sehingga ke tengah malam selama 3 hari berturut-turut.

Saya juga amat berterima kasih dan terharu dengan jiran-jiran berdekatan rumah yang membantu sehingga majlis selesai dan mengemaskan semua peralatan majlis. Jasa-jasa mereka tak mungkin kami sekeluarga lupakan.

Selamat Pengantin Baru buat Chana dan Zaidi. Semoga kekal hingga ke akhir hayat.

Thursday, December 17, 2009

HIJRAH???

Hasrat untuk berhenti kerja telah saya suarakan kepada beberapa orang kenalan dan juga ahli keluarga. Bermacam-macam pendapat yang saya terima. Rata-rata tidak bersetuju dengan hasrat saya itu. Mungkin ramai yang kurang jelas kenapa dan mengapa saya berhasrat untuk berhenti. Untuk berterus terang kepada semua orang, mungkin tidak rasanya. Ianya hanya membuka kepincangan pengurusan di pejabat saya yang juga akan memalukan saya. Paling tidakpun saya hanya berkata 'Nak duduk rumah pulak, jaga anak-anak'.

Saya senaraikan beberapa pandangan yang saya terima tentang hasrat saya berhenti kerja ni.

Dari seorang Ustazah :
Tak sayang ke? Ada kawan saya, juga nak berhenti kerja, saya tanya dia balik 'Kalau laki kau cari lain, macammana? Kalau kau bercerai macammana? Kalau laki kau mati macammana?Anak-anak kau kecil lagi. Jangan berhenti'. Termenung saya sekejap mendengar hujah seorang Ustazah. Begitu jauh pandangan negatif seorang Ustazah. Tiada nada positif untuk menasihatkan kawan. Saya jawab balik 'Ustazah, saya berfikiran positif untuk berhenti kerja ni. Kalau kita fikir negatif macam yang Ustazah cakap tu, akan negatiflah jadinya'. Pada mulanya saya fikir Ustazah ni akan mengalu-alukan hasrat saya untuk menumpukan pada rumahtangga, tapi sebaliknya.

Dari kawan-kawan :
Tak boring ke nanti duduk rumah aje. Kan dah biasa kerja. Saya jawab, 'Boring atau tidak terpulang pada kita. Banyak aktiviti kita boleh buat, bukan sekadar duduk rumah menunggu suami dan anak-anak balik atau memerhati pusingan jam'

Dari adik beradik/saudara mara :
Tidak memberi komen kerana keputusan di tangan saya. Dan mereka juga tahu situasi saya. Tapi ada juga yang cakap 'Bertahanlah kat tempat kerja tu, selagi boleh bertahan'

Dari anak-anak :
Tidak bersetuju kerana nanti kawan-kawan tanya ibu kerja apa? Jawabnya surirumah. Lagi satu nanti jadual ibu berubah. Saya kata nanti jawab dengan kawan-kawan, ibu kerja dengan abah sebab abah yang bayar 'gaji' ibu setiap bulan. Ha ha ha... anak-anakpun suka tengok ibunya berkerjaya.

Dari suami :
Abang tak kisah. Terpulang pada Su.

Secara peribadi memang saya sangat sayang kepada syarikat tempat saya bekerja sekarang. Saya sudah sebati dengan kerja-kerja di sini. Tapi bayangkan telah 10 tahun tiada kenaikan gaji langsung kepada semua kakitangan. Saya rasa benar-benar tidak dihargai oleh majikan. Ramai rakan-rakan sekerja yang telah terlebih dahulu berhenti kerja. Tiga empat tahun masa zaman gawat mungkin masih boleh bertahan. Tapi sekarang ekonomi agak memberangsangkan. Kenapa gaji masih di takuk lama.

Saya pula masih boleh bertahan sehingga ke hari ini kerana saya tak boleh berhijrah ke tempat lain. Rumah saya di sini. Dan Alhamdulillah saya juga tiada tanggungan yang berat dan masalah kewangan yang kritikal. Gaji saya hanya untuk keperluan saya. Segala perbelanjaan rumah, anak-anak, bil telefon, kereta, rumah dan segala-galanya dijelaskan suami.

Semoga Allah memberi petunjuk dan jalan kepada saya dalam membuat apa juga keputusan.