Thursday, August 15, 2013

SELAMAT HARI RAYA

8/8/2013 -  Hari ini Hari Raya.  Saya menyambutnya dengan sederhana sahaja.  Dengan tahap kesihatan yang tidak begitu baik, saya membuat persediaan dengan dibantu suami dan anak-anak.  Alhamdulillah, suami dan anak-anak banyak membantu.  Dilihat dari luaran memang saya seperti tidak sakit apa-apa.  Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menunjukkan perasaan saya yang sebenarnya walau di hati saya penuh kebimbangan.  Saya perlu kuat untuk melawan sebarang perasaan negatif dalam diri saya.

Saya dapat rasakan saya tidak boleh keseorangan atau tidak melakukan sebarang kerja.  Sebelum ini bila suami kerja luar, saya tidak begitu rasa keseorangan kerana saya telah biasa dengan keadaan ini.  Tapi setelah keadaan saya yang tidak sihat ini, saya dapat rasakan satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata keadaan diri saya.  Kosong.  Keseorangan. 

Kini saya menanti hari lagi - 21/8/2013.  Saya masih lagi belum pulih sepenuhnya dari batuk yang saya tanggung.  Saya berdoa saya sihat menjelang hari pembedahan nanti.  Saya tidak mahu bertangguh-tangguh lagi.  Saya dapat rasakan ketulan di payu dara saya makin membesar.  Ada sesekali terasa sakit.  Ini membimbangkan saya. 

Saya berdoa dan akan terus berdoa agar Allah swt menjauhkan saya dari penyakit kanser.  InsyaAllah, berkata doa suami, anak-anak, keluarga dan insan-insan sekeliling yang mengetahui tahap kesihatan saya ini.

PENANGGUHAN PEMBEDAHAN

23/7/2013 - saya menemui majikan saya dan memaklumkan saya akan menjalani pembedahan minggu hadapan.  Alhamdulillah, majikan saya memahami apa yang saya alami.  Beliau memberikan saya cuti tanpa rekod mulai esok sehingga pembedahan dijalankan dan saya sihat seperti biasa. 

24/7/2013 -  saya mula berasa tidak sihat.  Saya mendapat batuk yang agak teruk.  Saya ke klinik bagi mendapatkan ubat tapi batuk saya tidak berkurangan.  Saya mula bimbang kalau-kalau pembedahan ditangguhkan kerana doktor telah berpesan agar saya menjaga kesihatan menjelang hari pembedahan. 

Cuti yang diberi saya gunakan sepenuhnya untuk berehat.  Tapi hari demi hari batuk saya semakin teruk.  

30/7/2013 - jam 9.30 pagi saya ke hospital untuk dimasukkan ke wad sebagaimana temu janji yang diberi kepada saya.  Saya ditempatkan di wad 2D.  Seorang demi seorang doktor pakar memeriksa tahap kesihatan saya.  Masing-masing menggeleng kepala bila mendengar batuk saya yang teruk.  Kemungkinan saya tidak dapat dibedah.  Pembedahan saya memerlukan saya dibius seluruh badan.  Sekiranya saya tidak sihat akan ada masalah semasa pembedahan dijalankan di mana oksigen akan disalurkan melalui saluran pernafasan.  Saluran pernafasan akan menjadi sempit dan oksigen tidak dapat disalurkan. Mereka memaklumkan keputusan terakhir samada saya boleh dibedah atau tidak akan dibuat oleh pakar bius.  Sehingga ke jam 2.30 petang tiada perubahan kepada kesihatan saya.  Akhirnya pakar bius membuat keputusan untuk menangguhkan pembedahan saya.  Tarikh baru diberi kepada saya iaitu pada 21/8/2013 dan saya dikehendaki masuk ke wad pada 20/8/2013.  Saya keluar wad dengan bekalan ubat dari pihak hospital.

Maka menantilah saya sekali lagi dengan perasaan yang lebih berdebar-debar.

BERSEDIAKAH SAYA?

21/7/2013 - jam 10.44 pagi saya menerima panggilan telefon dari isteri sepupu saya yang bertugas sebagai nurse di Hospital Sultanah Nur Zahirah.  Beliau meminta saya untuk datang segera ke hospital kerana keputusan biopsy telahpun diperolehi oleh pihak hospital.  Perasaan berdebar datang dengan serta merta.  Apakah keputusannya nanti saya positif kanser? Inilah yang paling saya takuti.

Kebetulan hospital hanya berhadapan dengan pejabat saya. Saya terus ke hospital dan dimaklumkan doktor pakar payu dara, iaitu Dr Mr Hussain bersedia untuk bertemu dengan saya berkait keputusan biopsy tersebut.  

Masuk sahaja ke dalam bilik doktor, beliau tersenyum kepada saya.  Saya merasakan mungkin berita baik untuk saya.  Saya tanya 'macam mana resultnya doktor?'  Doktor tersenyum dan bertanya saya kembali 'puan rasa macam mana?'  Saya hanya mampu menggeleng kepala.  Doktor mengesahkan dari ujian biopsy tersebut, 99% tiada kanser dalam payu dara saya tetapi besar kemungkinan untuk mendapat kanser itu tetap ada.  Dalam istilah kanser, tahap saya adalah tahap 0 atau pra kanser.  Saya disarankan untuk membuat pembedahan bagi membuang ketulan di payu dara saya itu kerana keputusan biopsy bukan 100% tepat, hanya 99% dan 1% itu berkemungkinan kanser.  Keputusan tepat akan diperolehi setelah pembedahan membuang ketulan dibuat dan ketulan dibawa ke makmal untuk diuji samada mengandungi kanser atau tidak.  Tanpa silu, saya mengalirkan air mata dan menggeleng-geleng kepala.  Doktor tersebut memandang saya sambil menerangkan beberapa perkara dan menenangkan saya.  

Saya bersetuju untuk dibedah dan memohon pembedahan dilakukan segera kerana sesungguhnya apa yang berlaku ini sangat-sangat mengganggu fikiran saya.  Doktor memberikan tarikh 31/7/2013 untuk pembedahan dibuat.  Beliau mengarahkan nurse yang bersama-sama saya untuk mengambil darah, menjalankan x-ray dan membawa saya kepada pakar bius untuk menentukan tahap kesihatan saya sebelum pembedahan dilakukan.  

23/7/2013 - jam 8.03 pagi saya menerima panggilan dari pihak hospital.  Apa pula kali ini?  Apakah keputusan biopsy tempohari silap di mana memang ada kanser di dalam ketulan di payu dara saya ini?  Persoalan terjawab bila nurse yang membuat panggilan menerangkan Dr Mr Hussain yang akan membedah saya bertanya apakah saya bersetuju untuk dimasukkan ke wad hari ini bagi menjalani pembedahan esok?  Saya merasa serba salah kerana saya belum betul-betul bersedia untuk menghadapi pembedahan pada esok hari.  Minda saya hanya bersedia untuk esok.  Setelah menelefon suami, kami mengambil keputusan agar pembedahan saya dibuat pada tarikh asal yang diberi iaitu pada 31/7/2013.

Bermula dari hari ini bermula jugalah pengiraan saya untuk menghadapi hari pembedahan.