Wednesday, July 10, 2013

INILAH DUGAAN

HIDUP INI INDAH - tagline baru saya setelah ditukar dari Warnai Hidup Anda...

Tapi rupanya tagline ini bertukar kepada hidup ini tak selalu indah.  Saya sendiri tidak menduga akan apa yang sedang saya alami ini. Berkali-kali saya bertanya kepada diri saya 'dugaan apakah ini?'.  Seolah-olah tidak percaya.  Bayang-bayang kematian pula sentiasa bermain-main di minda saya.

Pada 2,3 bulan lepas saya merasai ada ketulan di sebelah atas payu dara saya.  Ianya agak kecil.  Disebabkan takut, saya tangguhkan untuk berjumpa doktor.  Hari berlalu begitu sahaja.  Walaupun saya cuba untuk ke klinik, tetapi ketakutan sekiranya ketulan itu merupakan cancer membuatkan saya menangguhkannya.  Hari makin pantas berlalu sehinggalah saya dan suami merasai ketulan itu bertambah ukurannya.  Saya berfikir tidak perlu untuk saya bertangguh lagi.  Saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.  Kebetulan pula saya mempunyai baucer saringan kesihatan dari pihak PERKESO/SOCSO.  Satu baucer untuk saringan kesihatan biasa dan satu lagi untuk ujian mamogram.

2/7/2013 -  lebih kurang jam 9.30 pagi saya sampai di Klinik Kumpulan Muslimah untuk temujanji dengan Dr. Fadilah yang telah kami atur semalam.  Sesampai di klinik, doktor melakukan pemeriksaan kesihatan saya.  Saya memaklumkan tentang ketulan yang ada di payu dara saya.  Doktor memeriksa dan membuat keputusan agar saya melakukan ujian mamogram dengan segera.  Pada petangnya saya telah menghubungi pihak KT Specialist Hospital (KTS) untuk ujian mamogram tersebut.  Pihak KTS telah memberi temu janji pada 4/7/2013 di mana ujian mamogram hanya diadakan pada setiap hari Khamis sahaja.

4/7/2013 -  pada jam 11.00 pagi sebagaimana temu janji, bersama-sama suami, dengan penuh debaran saya telah menjalani ujian mamogram di KTS di bawah seliaan Dr. Romzi.  Setelah diperiksa, Dr. Romzi mengesahkan ada ketulan di payu dara saya dengan status 'Birads IV' yang mengarah adanya sel-sel cancer dan saya perlu menjalani ujian ultrasound pula untuk memastikan apakah ketulan tersebut.  Ujian ultrasound dilakukan dan doktor mendapati payu dara dalam keadaan 50/50 di mana 50% dalam keadaan tidak bahaya dan 50% lagi dalam keadaan bahaya di mana berkemungkinan ada sel-sel kanser.  Doktor mengambil pendekatan untuk lebih kepada bahaya di mana beberapa follow up perlu saya buat untuk mengesahkan perkara ini.  Doktor mencadangkan untuk dibuang ketulan itu melalui pembedahan dan juga melakukan ujian biopsy untuk mengenal pasti adakah ketulan itu merupakan cancer.  Disebabkan biopsy tidak ada di KTS, saya perlu melakukannnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).  Namun doktor mencadangkan saya berbincang dengan Dr. Fadilah apakah tindakan yang paling baik perlu saya buat.  Dr. Romzi telah memberikan laporan-laporan mamogram dan ultrasound beserta laporan-laporan lain untuk saya kemukakan ke pihak Dr. Fadilah.

7/7/2013 - pada jam 10.00 pagi saya telah menemui Dr. Fadilah dan berbincang dengan beliau tindakan yang perlu saya lakukan.  Dr. Fadilah mencadangkan saya ke HSNZ dengan segera untuk membuat temujanji bagi ujian biopsy.

7/7/2013 - pada jam 10.45 pagi  saya terus ke Jabatan Pesakit Luar, HSNZ untuk urusan seterusnya.  Doktor yang memeriksa telah mengaturkan temu janji dengan doktor pakar di Kompleks Rawatan Harian bagi ujian biopsy dengan kadar segera.  Saya telah diberi temu janji pada 9/7/2013 pada jam 10.00 pagi.

9/7/2013 - pada jam 10.00 pagi dengan ditemani suami saya telah berjumpa dengan Dr. Hidayah Hayati dan Dr. Nik Rozana untuk ujian biopsy.  Oleh kerana kes saya perlu tindakan segera, maka semua dokumen-dokumen berkaitan kes saya dikategorikan sebagai 'urgent'.  Alhamdulillah, layanan yang diberikan oleh semua doktor dan jururawat bertugas sangat baik.  Ketika biopsy dilakukan, payu dara saya dibius sebanyak 2 kali untuk memasukkan jarum bagi mengambil sampel tisu yang disyaki mengandungi sel-sel cancer.  Kesan ubat bius ini menyebabkan saya tidak merasa kesakitan semasa proses dijalankan.  Selesai proses biopsy, saya dimaklumkan oleh Dr. Hayati untuk menunggu keputusan dalam tempoh 3 minggu lagi.  Saya diberikan temu janji baru pada 30/7/ 2013.

Perasaan saya ketika ini?  Hanya Allah yang maha mengetahui.  Saya memang tidak menduga akan menghadapi semua ini.  Dengan keadaan diri saya yang sihat, yang tiada tanda-tanda sakit melainkan ketulan itu, saya disyaki menghidap cancer.  Ya Allah.  Itu sahaja yang mampu saya ucapkan.  

Kadang-kadang saya menjadi pasif.  Saya seolah-olah merasa diri tidak sempurna.  Saya cuma memohon kepada suami dan anak-anak mendoakan kesihatan saya dan masih mengharap agar cancer itu menjauhi diri saya.  Saya mengharapkan keajaiban dari ujian biopsy yang telah dilakukan kepada saya.

Di bulan Ramadhan ini, saya memohon hidayah dari Allah.  Saya memohon segala-galanya dari Allah.  Mungkin ini peringatan dari Allah untuk saya lebih mengingatiNya. 

1 comment:

  1. Assalaamualaikum Puan, bagaimana keadaan puan sekarang? Semoga biopsi tunjukkan bukan sel kanser..

    ReplyDelete