Monday, January 24, 2011

TEMPAHAN JAHITAN

Assalamualaikum.

Selamat Tahun Baru 2011 Kepada Semua.

Hari ini dengan rasminya saya membuka blog saya ini kepada sesiapa yang berminat untuk menempah jahitan pakaian wanita/langsir/alas meja. Harga promosi adalah sebagaimana berikut :

1. Sebarang jenis baju kurung (tradisional/riau pahang/moden), kain selisih depan @ belakang/susun tepi - RM20.00

2. Langsir (french pleat) - RM6.00 sekeping

3. Alas meja - bergantung kepada ukuran

Kain untuk langsir/alas meja Elyza, boleh rujuk di laman web Elyza dan maklumkan kepada saya. Saya akan mendapatkan kain tersebut. Cuma berikan ukuran tingkap yang dikehendaki.


Lokasi saya di Kuala Terengganu. Temujanji boleh dibuat di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Tempahan melalui pos adalah dialu-alukan. Bayaran pos adalah mengikut yang ditetapkan oleh pihak Pos Malaysia/syarikat courier. Insya Allah, saya akan update jahitan-jahitan yang telah saya siapkan.


Hubungi saya di surf7375@yahoo.com

Semoga kita semua beroleh rezeki dan keberkatan atas semua usaha-usaha yang kita lakukan.

Tuesday, October 05, 2010

BLOG SAYA MASIH HIDUP...

Salam semua kawan-kawan,

Dah lama betul saya tak update blog ni. Rupanya bukan mudah nak 'menghidupkan' blog. Ada masa, takda idea. Ada idea, takda masa. Pusing-pusing...blogpun layu.

Sepanjang blog ini layu, macam-macam yang berlaku. Tapi alhamdulillah, semuanya yang menggembirakan. Yang menyedihkan cuma saya masih belum dapat lagi dengan sepenuhnya menerima kehilangan abadi mak tercinta.

InsyaAllah, ada kesempatan saya akan mewarnai kembali blog ini, sesuai dengan tajuk blog 'warnai hidup anda....' Sehingga berjumpa lagi.

Monday, January 04, 2010

AKHIR SEBUAH PENANTIAN

Semalam pada tarikh 3 Januari 2010 berakhirlah penantian saya selama 10 tahun untuk menikmati kenaikan gaji dengan menyerahkan surat perletakan jawatan saya kepada majikan. Setelah menunggu dan menunggu bagai buah yang tidak gugur, dengan rasa kecewa dan sebak saya mengambil keputusan ini. Berakhirlah perkhidmatan saya selama 20 tahun di syarikat ini.

Saya masih ingat ketika mula-mula menyertai syarikat ini, ianya berada dalam ambang kegemilangan. Banyak projek-projek yang diperolehi dengan nilaian berjuta-juta ringgit. Antaranya bangunan Perpustakaan Negara, Kompleks ESSO, bangunan Kerajaaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, bank, jalan persekutuan, stesyen Petronas dan banyak lagi. Entah banyak mana keringat Pengurus Projek, Jurutera, Jurukur Bahan, Pembantu Teknik, Penyelia Tapak dan kakitangan di tapak bina yang mengalir dalam menyiapkan projek-projek mega yang diperolehi. Namun kini itu semua hanya tinggal kenangan. Seorang demi seorang pegawai-pegawai yang berkelayakan di syarikat ini yang membawa diri apabila kebolehan mereka seolah-olah dinafikan. Namun begitu, Alhamdulillah, mereka yang membawa diri ini mencapai kejayaan yang luar biasa di luar sana. Mereka bangkit menyahut cabaran bahawa mereka juga mampu berdikari.

Ramai yang telah berjaya menubuhkan syarikat sendiri dan menjadi Pengarah syarikat masing-masing. Ramai yang berkereta besar, berumah besar setanding dengan kedudukan mereka. Namun sifat merendah diri masih menebal dalam diri mereka. Walau telah lama meninggalkan saya dalam syarikat ini dan telah menempa kejayaan, sifat sombong tidak ada dalam jiwa mereka. Tetap menegur saya dan bertanya khabar. Sesungguhnya saya bertuah mempunyai kawan-kawan begini.

Kini pokok yang ditanam oleh saya dan kakitangan lama yang pernah berkhidmat di sini, dituai hasilnya oleh kakitangan baru yang munculnya di syarikat ini ketika syarikat telah teguh kedudukannya. Mungkin bukan rezeki kami, itulah ayat penyedap yang digunapakai oleh kami bila mengenangkan kesusahan yang kami tempoh dalam membangunkan syarikat ini.

Semoga cahaya akan terus menerangi jalan saya dan kawan-kawan dalam menghadapi hari-hari mendatang.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxx

1 Januari 2010

1. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Pengarah Urusan
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

2. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Pengarah Eksekutif
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

YB Datuk/Tuan,

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI xxxxxxxxxxx

Dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2. Sukacita saya mengemukakan notis perletakan jawatan saya sebagai xxxxxxxxxxxxxxxxxx di syarikat tuan dengan sebulan notis berkuatkuasa 1 Januari 2010 dan berakhir 31 Januari 2010.

3. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana memberi saya peluang berkhidmat di syarikat ini selama 20 tahun, bermula pada tahun 1989.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,


xxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Tuesday, December 22, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU













Tanggal 11/12/2009 merupakan tanggal yang dinanti-nantikan oleh saya sekeluarga kerana pada hari inilah satu-satunya adik perempuan saya, Nur Syazrina, atau Chana diijabkabulkan dengan pilihan hatinya Zaidi. Oleh kerana Zaidi ni berasal dari kampung bersebelahan aje, maka urusan perkahwinan ini sangat mudah diuruskan. Yelah... apa-apa hal boleh terus bincang dan selesai.

Majlis kenduri diadakan pada 12/12/2009 dan di rumah Zaidi pada 13/12/2009. Sangat meriah. Kami adik beradik bersama abah memastikan majlis berlangsung dengan lancar. Walaupun mak telah tiada, tapi alhamdulillah jiran-jiran dan orang kampung ramai yang datang membantu. Semasa arwah mak masih ada, mak memang sering membantu orang-orang kampung yang mengadakan majlis kenduri kahwin. Saya sangat bersyukur kerana jasa-jasa mak tidak dilupai orang kampung dengan membantu kami tanpa mengira penat dari seawal pagi sehingga ke tengah malam selama 3 hari berturut-turut.

Saya juga amat berterima kasih dan terharu dengan jiran-jiran berdekatan rumah yang membantu sehingga majlis selesai dan mengemaskan semua peralatan majlis. Jasa-jasa mereka tak mungkin kami sekeluarga lupakan.

Selamat Pengantin Baru buat Chana dan Zaidi. Semoga kekal hingga ke akhir hayat.

Thursday, December 17, 2009

HIJRAH???

Hasrat untuk berhenti kerja telah saya suarakan kepada beberapa orang kenalan dan juga ahli keluarga. Bermacam-macam pendapat yang saya terima. Rata-rata tidak bersetuju dengan hasrat saya itu. Mungkin ramai yang kurang jelas kenapa dan mengapa saya berhasrat untuk berhenti. Untuk berterus terang kepada semua orang, mungkin tidak rasanya. Ianya hanya membuka kepincangan pengurusan di pejabat saya yang juga akan memalukan saya. Paling tidakpun saya hanya berkata 'Nak duduk rumah pulak, jaga anak-anak'.

Saya senaraikan beberapa pandangan yang saya terima tentang hasrat saya berhenti kerja ni.

Dari seorang Ustazah :
Tak sayang ke? Ada kawan saya, juga nak berhenti kerja, saya tanya dia balik 'Kalau laki kau cari lain, macammana? Kalau kau bercerai macammana? Kalau laki kau mati macammana?Anak-anak kau kecil lagi. Jangan berhenti'. Termenung saya sekejap mendengar hujah seorang Ustazah. Begitu jauh pandangan negatif seorang Ustazah. Tiada nada positif untuk menasihatkan kawan. Saya jawab balik 'Ustazah, saya berfikiran positif untuk berhenti kerja ni. Kalau kita fikir negatif macam yang Ustazah cakap tu, akan negatiflah jadinya'. Pada mulanya saya fikir Ustazah ni akan mengalu-alukan hasrat saya untuk menumpukan pada rumahtangga, tapi sebaliknya.

Dari kawan-kawan :
Tak boring ke nanti duduk rumah aje. Kan dah biasa kerja. Saya jawab, 'Boring atau tidak terpulang pada kita. Banyak aktiviti kita boleh buat, bukan sekadar duduk rumah menunggu suami dan anak-anak balik atau memerhati pusingan jam'

Dari adik beradik/saudara mara :
Tidak memberi komen kerana keputusan di tangan saya. Dan mereka juga tahu situasi saya. Tapi ada juga yang cakap 'Bertahanlah kat tempat kerja tu, selagi boleh bertahan'

Dari anak-anak :
Tidak bersetuju kerana nanti kawan-kawan tanya ibu kerja apa? Jawabnya surirumah. Lagi satu nanti jadual ibu berubah. Saya kata nanti jawab dengan kawan-kawan, ibu kerja dengan abah sebab abah yang bayar 'gaji' ibu setiap bulan. Ha ha ha... anak-anakpun suka tengok ibunya berkerjaya.

Dari suami :
Abang tak kisah. Terpulang pada Su.

Secara peribadi memang saya sangat sayang kepada syarikat tempat saya bekerja sekarang. Saya sudah sebati dengan kerja-kerja di sini. Tapi bayangkan telah 10 tahun tiada kenaikan gaji langsung kepada semua kakitangan. Saya rasa benar-benar tidak dihargai oleh majikan. Ramai rakan-rakan sekerja yang telah terlebih dahulu berhenti kerja. Tiga empat tahun masa zaman gawat mungkin masih boleh bertahan. Tapi sekarang ekonomi agak memberangsangkan. Kenapa gaji masih di takuk lama.

Saya pula masih boleh bertahan sehingga ke hari ini kerana saya tak boleh berhijrah ke tempat lain. Rumah saya di sini. Dan Alhamdulillah saya juga tiada tanggungan yang berat dan masalah kewangan yang kritikal. Gaji saya hanya untuk keperluan saya. Segala perbelanjaan rumah, anak-anak, bil telefon, kereta, rumah dan segala-galanya dijelaskan suami.

Semoga Allah memberi petunjuk dan jalan kepada saya dalam membuat apa juga keputusan.

Tuesday, November 10, 2009

AGENDA HUJUNG TAHUN

Tahun 2009 bakal berlalu tidak lama lagi. Terasa begitu cepat masa berlalu. Dengan jadual harian saya yang agak sibuk, tidak terasa masa berlalu dengan pantas. Bermula dari jam 5.45 pagi dan berakhir adakalanya jam 12.00 tengah malam, rutin hidup saya beginilah setiap hari.


Ada beberapa agenda yang telah diatur oleh kami sekeluarga untuk penghujung tahun ini. Cuti sekolah yang akan bermula pada 20/11 akan dirasmikan di Langkawi. Ya... saya sekeluarga akan ke Langkawi dari 20/11 - 23/11/2009. Ini kunjungan yang ketiga saya ke Langkawi. Kali ini saya akan bershopping sakan.


Balik dari Langkawi, suami mencadangkan kami terus balik ke kampung saya di Negeri Sembilan untuk menyambut Hari Raya Korban. Ini kali kedua kami menyambut Raya Korban di kampung saya. Selalunya kami menyambutnya di rumah kami dan rumah mertua di Kuala Terengganu. Nampaknya saya terpaksa mengambil cuti panjang kali ni. Cuti bersambung-sambung.


Pada 11/12 pula adik perempuan saya akan bernikah di kampung saya di Negeri Sembilan. Majlis kendurinya pula pada 12/12. Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan kelengkapan bilik pengantinnya. InsyaAllah, menjelang hari majlisnya nanti semuanya akan siap. Majlis ini amat ditunggu-tunggu oleh adik beradik saya kerana telah 15 tahun kami tidak pernah mengadakan majlis kenduri kahwin. Oleh kerana bakal adik ipar saya ni sekampung dengan kami, jadi tak timbul masalah nak menghantar adik saya nanti. Hanya berkumpul di rumah kami, dan terus gerak ke rumah pihak lelaki. Majlis di pihak lelaki pula pada 13/12. Saya harap semuanya akan berjalan lancar nanti.


Pada 19/12 dan 20/12 pula suami saya akan mengadakan re-union dan hari keluarga bersama kawan-kawannya masa di UPM dulu. Perjumpaan akan diadakan di De Rhu Beach Resort, Kuantan. Hai... cuti lagi nampaknya saya. Cuti tahunan saya memang dah habis. Unpaid leave lah jawabnya.


Sekarang ni musim hujan. Baru-baru ni 2 hari berturut-turut hujan lebat. Oleh kerana rumah saya dikelilingi oleh sawah padi, bila hujan lebat sawah akan dipenuhi oleh air hujan. Macam laut. Bila musim hujan lebat macam nilah keadaan sekeliling rumah saya. Depan, belakang, kiri dan kanan dipenuhi air. Tapi bila musim padi dah naik, pemandangan terus berubah. Hijau dengan padi dan daun-daun padi macam gambar kat atas tu.





Tuesday, October 06, 2009

PEPERIKSAAN PMR

Tiada n3 raya khas dari saya. Tahun ni raya dalam kesedihan kerana pertama kali berhari raya tanpa mak tersayang. Persiapan serba sederhana.

Esok peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) akan bermula. Bagi ibu-ibu yang mempunyai anak yang akan mengambil peperiksaan ini pasti turut berdebar-debar. Begitu juga saya. Anak kedua saya, Nurul Syahiirah atau Angah akan mula menghadapi peperiksaan ini esok. Hanya doa, sembahyang hajat dan selebihnya berserah kepada Allah yang dapat saya buat agar anak saya beroleh kejayaan. Suami saya kata peperiksaan ini seperti berperang. Kita hendaklah buat persediaan yang rapi agar mendapat kejayaan.

Selamat berjuang buat Angah. Ibu sentiasa mendoakan kejayaan Angah.