Tuesday, October 06, 2009

PEPERIKSAAN PMR

Tiada n3 raya khas dari saya. Tahun ni raya dalam kesedihan kerana pertama kali berhari raya tanpa mak tersayang. Persiapan serba sederhana.

Esok peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) akan bermula. Bagi ibu-ibu yang mempunyai anak yang akan mengambil peperiksaan ini pasti turut berdebar-debar. Begitu juga saya. Anak kedua saya, Nurul Syahiirah atau Angah akan mula menghadapi peperiksaan ini esok. Hanya doa, sembahyang hajat dan selebihnya berserah kepada Allah yang dapat saya buat agar anak saya beroleh kejayaan. Suami saya kata peperiksaan ini seperti berperang. Kita hendaklah buat persediaan yang rapi agar mendapat kejayaan.

Selamat berjuang buat Angah. Ibu sentiasa mendoakan kejayaan Angah.


Wednesday, August 26, 2009

BERSAHUR

Alhamdulillah, hari ini dah masuk hari ke 5 umat Islam berpuasa. Rasanya kita telah dapat menyesuaikan diri dengan situasi bersahur, berbuka dan bersembahyang tarawih.

Keluarga saya memang tiada masalah untuk bangun sahur. Sekali panggil aje, terus bangun. Makanpun tidak memilih. Apa yang saya hidang, itulah yang dimakan tanpa bersoal jawab. Cuma 2 orang anak lelaki saya, lepas makan nasi mesti nak makan cornflakes/koko crunch dengan air susu.

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda :

'Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya'

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sama-samalah kita mengambil keberkatan dalam bulan Ramadhan ini di mana salah satunya ada di dalam bersahur.

Selamat Bersahur

Monday, August 24, 2009

HADIAH

Bulan ni bulan paling gembira bagi saya sebab dapat 2 hadiah sekali gus dari suami.

HADIAH PERTAMA - MESIN JAHIT TEPI

Sebenarnya dah lama saya mengidam mesin jahit tepi, tapi rasa tak berbaloi nak membelinya sebab jahitan ni sekadar mengisi masa lapang. Menjahit bila rasa rajin. Lebih senang hantar jahit tepi kat kedai. Cuma baru-baru ni saya suarakan pada suami 'Rasa nak beli mesin jahit tepi je, senang sikit'. Suami tanya berapa ringgit. Saya cakaplah seribu lebih-lebih sikit. Saya nak beli kat kedai Singer kat bawah ofis saya. Saya tengok suami raba-raba kocek seluar dia. Keluarkan purse, keluarkan duit sekali. Tadaaa...suami hulurkan seribu pada saya. 'Su ambil duit ni, tambahlah sikit, Su beli sendiri ye, kedai Singer tu kat bawah ofis jekan?' Yes...tercapai hajat saya.

HADIAH KEDUA - KAMERA DIGITAL

Selama ni saya hanya gunakan kamera suami untuk ambil gambar. Terfikir juga nak beli kamera lain, tapi belum ada kesempatan nak survey kat kedai.

Kebetulan suami saya outstation seminggu dari 16/8 - 21/8 dan antara tempat yang dia pergi ialah Langkawi. Sebelum balik rumah, suami ada beritahu belikan hadiah untuk saya. Puas saya fikir hadiah apa, tapi tak dapat jawapannya. Sampai aje di rumah pada 21/8, suami serahkan satu bungkusan yang dibeli di Langkawi kepada saya. Bila saya buka, wow... kamera. Macam tau-tau je saya mengidam kamera. Lepas ni bolehlah saya ambil gambar guna kamera baru ni, masih dalam kotak lagi. Semoga blog saya bertambah meriah .

Mungkin bagi setengah orang, hadiah yang macam saya dapat ni biasa-biasa aje. Tapi bagi saya amat bermakna. Pertama, ianya hadiah dari suami dan kedua barang-barang ini amat saya idamkan.

Buat masa ini saya tak berkesempatan lagi nak letak gambar-gambar baru. Kat opis bizi, kat rumah lagi bizi.

'Selamat menjahit kepada yang mengambil tempahan menjahit
Selamat membuat kuih raya kepada tokei kuih raya'

RAMADHAN BULAN YANG BERKAT

Alhamdulillah, tahun ini dapat lagi saya menyambut bulan Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :

Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sebelum kedatangan Ramadhan, saya telah menghadiri satu ceramah di masjid kampung saya.

Antara isi ceramah :

Di bulan Ramadhan ini syaitan-syaitan diikat, tapi timbul pertanyaan kenapa masih berlaku perkara-perkara mungkar seperti mencuri sedangkan syaitan-syaitan telah diikat. Sebenarnya memang syaitan di sekeliling kita telah diikat dan dibelenggu, tapi yang menghasut kita untuk melakukan perbuatan mungkar tersebut adalah syaitan yang memang telah berada dan sedia ada di dalam badan setiap manusia. Syaitan di dalam diri kita inilah yang menghasut kita supaya mencuri, ponteng puasa, menipu dan sebagainya.

Jangan biarkan syaitan menguasai diri kita, sebaliknya kita harus memerangi syaitan ini habis-habisan.

Selamat Berpuasa.

Tuesday, July 28, 2009

KEK COKLAT KUKUS


Anak-anak saya memang suka makan kek coklat. Setiap kali sambut harijadi atau ada jamuan di sekolah anak atau jamuan di rumah, kek coklat lah yang saya buat. Sebenarnya buat kek coklat ni senang aje, cuma masa yang kadang-kadang tidak mengizinkan. Biasanya saya guna resepi 'Kek Coklat Kukus Zaima'. Rasanya bukan saja sedap, malah senang disediakan dan ambil masa yang singkat untuk menyiapkannya.

Terima kasih kepada pencipta resepi kek coklat ini. Sesiapa yang berada di sekitar bandar Kuala Terengganu boleh menempah kek ini daripada saya. InsyaAllah, rasanya memang tidak mengecewakan. Dijamin sedap.




Thursday, July 23, 2009

PROJEK MENJAHIT


20/7 baru ni saya ke Desa Murni Pengadang Baru untuk membeli kain pasang untuk anak-anak. Kakak beli 2 pasang, angah pun beli 2 pasang. Siap beli batu bling-bling lagi nak jahit kat hujung tangan baju. Saya cuma beli tudung 2 helai, itupun yang murah. Sebenarnya saya suka beli yang harga murah sebab ringan dan senang nak handle. Nak kering dalam mesin basuh pun tak jadi masalah.

Hari-hari anak tanya, bila ibu nak jahit baju. Hai... bilalah nak start ni. Balik kerja dah pukul 6, terus ke dapur memasak. Sembahyang maghrib pulak, lepas tu terus sembahyang isyak. Baru nak start mengukur kain, dah rasa penat. Itu yang asyik bertangguh.

24/7 dan 25/7 nak ke Pulau Pinang pulak, anak saudara nak kahwin. Dah rugi 2 hari, Ahad tu dah kerja. Bilalah nak start ni. Sebenarnya saya ni kalau dah start menjahit memang payah nak berhenti, tapi kalau dah berhenti payah nak start balik. Perasaan nak menjahit tu memang ada, tapi kesempatan tu yang payah nak jumpa. Tengoklah balik kerja nanti, nak paksa juga diri ni buka kain-kain yang dah dibeli tu. Kesian kat anak-anak, tak sabar nak pakai baju baru. Kakakpun hujung minggu ni dah nak balik Kolej, nak juga bawa baju baru. Angah pulak nak pakai masa pergi kem PMR nanti. Akan kudayakan juga diri ini...


Ni ada beberapa koleksi jahitan saya, gambar tak terang... guna handphone je...


Alas meja kat ruang tamu


Langsir dapur

Alas almari hiasan

Langsir di ruang keluarga

Bantal-bantal kecil di meja konsul

Thursday, July 16, 2009

FIKIRAN KACAU

Nampaknya projek jahit menjahit ni terpaksa KIV dulu. Entahlah... sejak kebelakangan ni rasa tak sihat je.

Sebenarnya saya nak luah perasaan. Saya frust betul dengan tempat kerja sekarang ni. Ramai yang dah berhenti kerja sebab tak puas hati dengan pihak pengurusan. Saya dan seorang dua sahaja yang tinggal, yang sabar dan yang masih bertahan. Tak tahulah sampai bila dapat bertahan.

Tak terluah rasanya pada sesiapapun. Cuma rakan sepejabat yang mengalami sahaja yang tahu apa yang bergelora di hati saya.