Wednesday, July 10, 2013

INILAH DUGAAN

HIDUP INI INDAH - tagline baru saya setelah ditukar dari Warnai Hidup Anda...

Tapi rupanya tagline ini bertukar kepada hidup ini tak selalu indah.  Saya sendiri tidak menduga akan apa yang sedang saya alami ini. Berkali-kali saya bertanya kepada diri saya 'dugaan apakah ini?'.  Seolah-olah tidak percaya.  Bayang-bayang kematian pula sentiasa bermain-main di minda saya.

Pada 2,3 bulan lepas saya merasai ada ketulan di sebelah atas payu dara saya.  Ianya agak kecil.  Disebabkan takut, saya tangguhkan untuk berjumpa doktor.  Hari berlalu begitu sahaja.  Walaupun saya cuba untuk ke klinik, tetapi ketakutan sekiranya ketulan itu merupakan cancer membuatkan saya menangguhkannya.  Hari makin pantas berlalu sehinggalah saya dan suami merasai ketulan itu bertambah ukurannya.  Saya berfikir tidak perlu untuk saya bertangguh lagi.  Saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.  Kebetulan pula saya mempunyai baucer saringan kesihatan dari pihak PERKESO/SOCSO.  Satu baucer untuk saringan kesihatan biasa dan satu lagi untuk ujian mamogram.

2/7/2013 -  lebih kurang jam 9.30 pagi saya sampai di Klinik Kumpulan Muslimah untuk temujanji dengan Dr. Fadilah yang telah kami atur semalam.  Sesampai di klinik, doktor melakukan pemeriksaan kesihatan saya.  Saya memaklumkan tentang ketulan yang ada di payu dara saya.  Doktor memeriksa dan membuat keputusan agar saya melakukan ujian mamogram dengan segera.  Pada petangnya saya telah menghubungi pihak KT Specialist Hospital (KTS) untuk ujian mamogram tersebut.  Pihak KTS telah memberi temu janji pada 4/7/2013 di mana ujian mamogram hanya diadakan pada setiap hari Khamis sahaja.

4/7/2013 -  pada jam 11.00 pagi sebagaimana temu janji, bersama-sama suami, dengan penuh debaran saya telah menjalani ujian mamogram di KTS di bawah seliaan Dr. Romzi.  Setelah diperiksa, Dr. Romzi mengesahkan ada ketulan di payu dara saya dengan status 'Birads IV' yang mengarah adanya sel-sel cancer dan saya perlu menjalani ujian ultrasound pula untuk memastikan apakah ketulan tersebut.  Ujian ultrasound dilakukan dan doktor mendapati payu dara dalam keadaan 50/50 di mana 50% dalam keadaan tidak bahaya dan 50% lagi dalam keadaan bahaya di mana berkemungkinan ada sel-sel kanser.  Doktor mengambil pendekatan untuk lebih kepada bahaya di mana beberapa follow up perlu saya buat untuk mengesahkan perkara ini.  Doktor mencadangkan untuk dibuang ketulan itu melalui pembedahan dan juga melakukan ujian biopsy untuk mengenal pasti adakah ketulan itu merupakan cancer.  Disebabkan biopsy tidak ada di KTS, saya perlu melakukannnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).  Namun doktor mencadangkan saya berbincang dengan Dr. Fadilah apakah tindakan yang paling baik perlu saya buat.  Dr. Romzi telah memberikan laporan-laporan mamogram dan ultrasound beserta laporan-laporan lain untuk saya kemukakan ke pihak Dr. Fadilah.

7/7/2013 - pada jam 10.00 pagi saya telah menemui Dr. Fadilah dan berbincang dengan beliau tindakan yang perlu saya lakukan.  Dr. Fadilah mencadangkan saya ke HSNZ dengan segera untuk membuat temujanji bagi ujian biopsy.

7/7/2013 - pada jam 10.45 pagi  saya terus ke Jabatan Pesakit Luar, HSNZ untuk urusan seterusnya.  Doktor yang memeriksa telah mengaturkan temu janji dengan doktor pakar di Kompleks Rawatan Harian bagi ujian biopsy dengan kadar segera.  Saya telah diberi temu janji pada 9/7/2013 pada jam 10.00 pagi.

9/7/2013 - pada jam 10.00 pagi dengan ditemani suami saya telah berjumpa dengan Dr. Hidayah Hayati dan Dr. Nik Rozana untuk ujian biopsy.  Oleh kerana kes saya perlu tindakan segera, maka semua dokumen-dokumen berkaitan kes saya dikategorikan sebagai 'urgent'.  Alhamdulillah, layanan yang diberikan oleh semua doktor dan jururawat bertugas sangat baik.  Ketika biopsy dilakukan, payu dara saya dibius sebanyak 2 kali untuk memasukkan jarum bagi mengambil sampel tisu yang disyaki mengandungi sel-sel cancer.  Kesan ubat bius ini menyebabkan saya tidak merasa kesakitan semasa proses dijalankan.  Selesai proses biopsy, saya dimaklumkan oleh Dr. Hayati untuk menunggu keputusan dalam tempoh 3 minggu lagi.  Saya diberikan temu janji baru pada 30/7/ 2013.

Perasaan saya ketika ini?  Hanya Allah yang maha mengetahui.  Saya memang tidak menduga akan menghadapi semua ini.  Dengan keadaan diri saya yang sihat, yang tiada tanda-tanda sakit melainkan ketulan itu, saya disyaki menghidap cancer.  Ya Allah.  Itu sahaja yang mampu saya ucapkan.  

Kadang-kadang saya menjadi pasif.  Saya seolah-olah merasa diri tidak sempurna.  Saya cuma memohon kepada suami dan anak-anak mendoakan kesihatan saya dan masih mengharap agar cancer itu menjauhi diri saya.  Saya mengharapkan keajaiban dari ujian biopsy yang telah dilakukan kepada saya.

Di bulan Ramadhan ini, saya memohon hidayah dari Allah.  Saya memohon segala-galanya dari Allah.  Mungkin ini peringatan dari Allah untuk saya lebih mengingatiNya. 

Thursday, May 30, 2013

MENULIS, MENJAHIT, MENGEMAS

Sekarang ni saya tengok satu trend pulak orang menulis novel.  Banyak sangat novel-novel online.  Kadang-kadang teringin jugak menulis novel online ni.  Masa sekolah dulu suka sangat main tulis-tulis novel.  Saya ni memang suka baca novel masa sekolah dulu.  Novel kanak-kanak.  Antara penulis yang saya suka Enid Blyton.  Hari-hari baca novel sampai lupa makan.  Selagi tak habis selagi tu saya baca.

Sebenarnya ada beberapa draf novel yang saya tulis sekarang.  Agaknya kalau saya tak bekerja, mungkin novel-novel ni banyak yang dah siap.  Tapi satu masalah besar, novel saya tiada tajuk.  Susah jugak ye nak cari tajuk novel rupanya.  Jalan cerita dah ada cuma perlu dikembangkan watak-watak.  Hai...berangan nak tulis novel pulak.  Tu ha...kain-kain yang bertimbun tak berjahit tu siapa nak jahit?  Siapkan jahit baju dulu Su...baru berangan nak bernovel bagai.

Saya ni semua nak buat sendiri.  Tapi kemampuan tak seiring dengan kemahuan.  Contohnya malam tadi.  Saya ingat nak gunting kain.  Alih-alih ada iklan kt TV bagitau ada Konsert Akhir Kilauan Emas 3.  Rasa nak tengok pulak sebab baru dua tiga hari lepas saya tertengok Konsert Separuh Akhir.  Macam best pulak tengok otai-otai ni menyanyi.  Jadi malam tadi mengadap TV lah dari jam 8 mulai dengan berita hingga jam 12 bila berakhirnya konsert ni.  Tapi puas hati sebab semua peserta memang meletop.  Tak rugi tengok.

Malam ni memang tekad nak gunting kain.  Nak buat baju kurung moden.  Harap-harap tercapai impian untuk menggunting.  Kalau siap, hari Ahad ni boleh pakai baju baru ke ofis.  Menjahit ni ikut mood jugak.  Kalau mood datang, memang tak berhenti dari menggunting hinggalah menjahit.  Tapi kalau mood tak datang, lepas gunting kain tu kena peram dulu baru dijahit.

Minggu ni cuti tiga hari, Jumaat, Sabtu dan Ahad sebagai ganti cuti hari Sabtu Hari Keputeraan YDP Agong. Banyak rancangan cuti ni.  Nak kemas rumah.  Nak kemas beg-beg yang digunakan semasa mengerjakan Umrah.  Nak kemas halaman rumah.  Nak pergi kenduri kahwin sahabat.  Macam-macam rancangan.  Suami dan anak-anak pun belum balik lagi dari Kuala Lumpur.  Agak sunyilah cuti ini.  Moga dipermudahkan oleh Allah swt semua urusan kami


Pokok jambu di halaman rumah.  Buah yang sangat lebat. Yang gugur ke tanah perlu dibersihkan.
  

Wednesday, May 29, 2013

CUTI SEKOLAH : 24 MEI 2013 - 8 JUN 2013

Cuti sekolah kembali lagi.  Tapi saya tak boleh ke mana-mana.  Sedih...Anak yang ke 3, Syamil, nak hadapi PMR tahun ni.  Ada kelas tambahan.  Ada kelas tuisyen.  Sayalah tukang hantar ke kelas-kelas tu.  Suami dan anak-anak yang lain macam mana?  Alahai..inilah yang sedih nak cerita ni.

Suami ada program di Kuala Lumpur dari 28 Mei hingga 1 Jun 2013.  Hajat hati memang nak ikut, tapi sebab Syamil tu ada kelas, jadi tak bolehlah ikut.  Anak-anak yang lain bolehlah pergi.  Syahiirah, Syazwan dan Syakirah semua dapat ikut abahnya.  Sekarang semua ada kat Residence Hotel, Uniten Bangi.  Berjimba-jimba kat sana. Oh...jelesnya rasa.

Hajat hati cuti sekolah ni nak shopping sikit kat KL.  Lama tak shopping.  Tak pun nak pergi Nilai.  Lagipun sejak balik Umrah ni, mood nak bekerja kurang.  Rasa nak relax, rehat je.  

Puasa pun tak lama lagi.  Hajat hati nak jahit baju.  Masih banyak lagi kain-kain lama yang masih belum dijahit.  Kesian kat kakak Syafiqah.  Kain dia yang paling banyak belum dijahit.  Dia kata dia pergi kelas tak pakai sangat baju kurung.  Itu yang tak berapa rajin jahit baju dia.  Berbanding dengan angah Syahiirah pergi kelas pakai baju kurung.

Sementara suami dan anak-anak takde kat rumah ni, ingat nak tumpu masa nak jahit baju.  Kakakpun nak praktikal 17 Jun ini.  3 bulan.  Mesti nak pakai baju kurung.  Nampaknya kena jahit jugak baju-baju kakak.  Dua minggu lepas saya ke Nagoya yang baru buka tu.  Sempat beli dua pasang kain.  Hari-hari mengadap kain tu kat rumah.  Bilalah nak jadi baju.  Kalau ikutkan hati, mahu dibeli lima enam pasang. Tapi bila difikirkan tiada masa nak menjahit, beli dua pasang dulu.  InsyaAllah, petang ni balik kerja dan selepas hantar Syamil ke tuisyen, nak gunting kain yang baru beli tu.  Harap-harap sihatlah hari ni.  Asyik letih memanjang, satu kerja pun tak jadi.

Orang kata menulis blog ni perlukan kesabaran dan masa yang benar-benar terluang.  Amboi... kalau difikirkan bilalah ada masa yang benar-benar terluang.  Tu...pengalaman mengerjakan Umrahpun belum sempat ditulis sepenuhnya.  Separuh dah ditulis dalam iPad.  Nantilah ada kelapangan akan ditulis juga di dalam blog ni.

Menulis dalam blog ni umpama menulis diary.  Bukan syok sendiri ye.  Yelah ada masanya apa yang kita tulis dalam blog berguna di masa-masa akan datang sebagai rujukan.  Contoh kita pernah membeli sesuatu barang dan catit dalam blog.  Tiba-tiba barang tu rosak.  Mana nak cari kad atau resit belian tu kan?  Jadi dengan melihat balik catitan-catitan dalam blog ni boleh kita tau apa-apa yang kita beli.

Sebut pasal beli, pada 27 Mei 2013 saya ada membeli buku Mariam Abu Bakar bertajuk 'Panduan Membuat Pakaian Wanita'. Buku ni dah lama saya idamkan.  Kebetulan ada baucar buku kepunyaan angah bernilai RM150.00 yang belum digunakan dan tarikh luput pada 31 Mei 2013.  Setelah membeli keperluan angah, buku-buku dan alatan persekolahan anak yang lain, masih ada berbaki dalam RM60.00.  Dengan baucar ini saya beli buku idaman tersebut.  Kandungannya?  Belum boleh bagi komen keseluruhan sebab baru baca beberapa helai mukasurat.  

Cukuplah setakat hari ini.  Hajat hati nak letak beberapa gambar, tapi tak sempat.  Nantilah bila-bila ada kelapangan.


Tuesday, May 14, 2013

UMRAH 22/4/2013 - 4/5/2013

Alhamdulillah saya baru sahaja balik dari mengerjakan umrah dari 22 April 2013 sehingga 4 Mei 2013 bersama-sama suami tersayang dan seorang anak lelaki saya, Syamil serta emak mertua, emak saudara dan seorang adik ipar perempuan.

Pengalaman umrah bersama-sama ahli keluarga ini adalah antara pengalaman yang paling manis dalam hidup kami.  InsyaAllah, saya akan masukkan entry berkenaan umrah ini jika masa mengizinkan.


Monday, January 24, 2011

TEMPAHAN JAHITAN

Assalamualaikum.

Selamat Tahun Baru 2011 Kepada Semua.

Hari ini dengan rasminya saya membuka blog saya ini kepada sesiapa yang berminat untuk menempah jahitan pakaian wanita/langsir/alas meja. Harga promosi adalah sebagaimana berikut :

1. Sebarang jenis baju kurung (tradisional/riau pahang/moden), kain selisih depan @ belakang/susun tepi - RM20.00

2. Langsir (french pleat) - RM6.00 sekeping

3. Alas meja - bergantung kepada ukuran

Kain untuk langsir/alas meja Elyza, boleh rujuk di laman web Elyza dan maklumkan kepada saya. Saya akan mendapatkan kain tersebut. Cuma berikan ukuran tingkap yang dikehendaki.


Lokasi saya di Kuala Terengganu. Temujanji boleh dibuat di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Tempahan melalui pos adalah dialu-alukan. Bayaran pos adalah mengikut yang ditetapkan oleh pihak Pos Malaysia/syarikat courier. Insya Allah, saya akan update jahitan-jahitan yang telah saya siapkan.


Hubungi saya di surf7375@yahoo.com

Semoga kita semua beroleh rezeki dan keberkatan atas semua usaha-usaha yang kita lakukan.

Tuesday, October 05, 2010

BLOG SAYA MASIH HIDUP...

Salam semua kawan-kawan,

Dah lama betul saya tak update blog ni. Rupanya bukan mudah nak 'menghidupkan' blog. Ada masa, takda idea. Ada idea, takda masa. Pusing-pusing...blogpun layu.

Sepanjang blog ini layu, macam-macam yang berlaku. Tapi alhamdulillah, semuanya yang menggembirakan. Yang menyedihkan cuma saya masih belum dapat lagi dengan sepenuhnya menerima kehilangan abadi mak tercinta.

InsyaAllah, ada kesempatan saya akan mewarnai kembali blog ini, sesuai dengan tajuk blog 'warnai hidup anda....' Sehingga berjumpa lagi.

Monday, January 04, 2010

AKHIR SEBUAH PENANTIAN

Semalam pada tarikh 3 Januari 2010 berakhirlah penantian saya selama 10 tahun untuk menikmati kenaikan gaji dengan menyerahkan surat perletakan jawatan saya kepada majikan. Setelah menunggu dan menunggu bagai buah yang tidak gugur, dengan rasa kecewa dan sebak saya mengambil keputusan ini. Berakhirlah perkhidmatan saya selama 20 tahun di syarikat ini.

Saya masih ingat ketika mula-mula menyertai syarikat ini, ianya berada dalam ambang kegemilangan. Banyak projek-projek yang diperolehi dengan nilaian berjuta-juta ringgit. Antaranya bangunan Perpustakaan Negara, Kompleks ESSO, bangunan Kerajaaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, bank, jalan persekutuan, stesyen Petronas dan banyak lagi. Entah banyak mana keringat Pengurus Projek, Jurutera, Jurukur Bahan, Pembantu Teknik, Penyelia Tapak dan kakitangan di tapak bina yang mengalir dalam menyiapkan projek-projek mega yang diperolehi. Namun kini itu semua hanya tinggal kenangan. Seorang demi seorang pegawai-pegawai yang berkelayakan di syarikat ini yang membawa diri apabila kebolehan mereka seolah-olah dinafikan. Namun begitu, Alhamdulillah, mereka yang membawa diri ini mencapai kejayaan yang luar biasa di luar sana. Mereka bangkit menyahut cabaran bahawa mereka juga mampu berdikari.

Ramai yang telah berjaya menubuhkan syarikat sendiri dan menjadi Pengarah syarikat masing-masing. Ramai yang berkereta besar, berumah besar setanding dengan kedudukan mereka. Namun sifat merendah diri masih menebal dalam diri mereka. Walau telah lama meninggalkan saya dalam syarikat ini dan telah menempa kejayaan, sifat sombong tidak ada dalam jiwa mereka. Tetap menegur saya dan bertanya khabar. Sesungguhnya saya bertuah mempunyai kawan-kawan begini.

Kini pokok yang ditanam oleh saya dan kakitangan lama yang pernah berkhidmat di sini, dituai hasilnya oleh kakitangan baru yang munculnya di syarikat ini ketika syarikat telah teguh kedudukannya. Mungkin bukan rezeki kami, itulah ayat penyedap yang digunapakai oleh kami bila mengenangkan kesusahan yang kami tempoh dalam membangunkan syarikat ini.

Semoga cahaya akan terus menerangi jalan saya dan kawan-kawan dalam menghadapi hari-hari mendatang.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
xxxxxxxxxxxxxxxxx

1 Januari 2010

1. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Pengarah Urusan
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

2. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Pengarah Eksekutif
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

YB Datuk/Tuan,

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI xxxxxxxxxxx

Dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2. Sukacita saya mengemukakan notis perletakan jawatan saya sebagai xxxxxxxxxxxxxxxxxx di syarikat tuan dengan sebulan notis berkuatkuasa 1 Januari 2010 dan berakhir 31 Januari 2010.

3. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana memberi saya peluang berkhidmat di syarikat ini selama 20 tahun, bermula pada tahun 1989.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,


xxxxxxxxxxxxxxxxxxx